Etnik Kejaman Isnin, 11 Januari 2010
Oleh Azrul Affandi Sobry

Hidup kais pagi, makan pagi: Penghuni dua kampung di Hulu Belaga bergantung kepada hasil hutan, sungai

KEJAM ialah perbuatan yang tidak berperikemanusiaan dan zalim. Kejaman pula ialah sekumpulan manusia atau suku kaum yang wujud di negara ini. Bukan saja orang luar, ramai penduduk Sarawak juga tidak pernah tahu wujudnya kaum itu. Kaum itu hanya boleh ditemui di bumi Sarawak. Kaum ini boleh didapati di sebuah perkampungan kaum kecil di daerah Belaga, di kawasan pedalaman Sarawak iaitu di Hulu Sungai Rajang – terpanjang di negara ini, menghala ke Bakun.

Kejaman ialah salah satu etnik kecil di Belaga yang bernaung di bawah masyarakat Kajang bersama beberapa suku etnik kecil lain iaitu Punan, Sekapan, Lahanan dan Sihan. Mereka membuka dua perkampungan di Hulu Sungai Rajang dengan jumlah penduduk lebih kurang 1,300 orang.

Berpecah kepada dua perkampungan iaitu di Rumah Panjang Kejaman Long Segaham dan Long Litten akibat krisis peperangan antara kaum pada kurun ke-18, masyarakat itu hanya boleh ditemui jauh di hulu Belaga selepas melalui pelbagai kesukaran untuk ke perkampungan mereka.

Keunikan kaum itu bukan sekadar namanya yang pelik, malah apabila diselami budaya serta cara hidup masyarakat hulu itu, mereka lebih selesa tinggal jauh daripada kemudahan asas yang dinikmati orang lain serta turut sukar untuk ke bandar atau pekan berhampiran, Belaga atau Bintulu.

Untuk membongkar misteri etnik ini memerlukan perjalanan selama tiga jam dengan bot ke pekan Belaga atau menaiki pacuan empat roda melalui laluan hutan balak dengan liku perjalanan menyukarkan, penduduk Kejaman rela terus hidup dengan cara tersendiri, bergantung harap kepada hasil hutan dan sungai untuk meneruskan kehidupan serba mencabar.

Meskipun namanya seakan-akan memberi gambaran masyarakat itu memiliki sifat kejam, realiti sebenarnya masyarakat Kejaman kaya dengan budi bahasa. Mereka mengekalkan keunikan budaya.

Dengan mengekalkan cara hidup perkampungan rumah panjang di samping mempertahankan budaya turun temurun, menjadikan masyarakat itu sangat unik.

Namun, kesukaran mengunjungi perkampungan mereka menyebabkan etnik itu sukar didekati. Ketiadaan kemudahan pengangkutan selain jarak yang sangat jauh menjadi masalah utama kepada masyarakat luar untuk menemui mereka. Hanya ada tiga pilihan. Pacuan empat roda dan bot panjang dari Bintulu atau bot ekspres Sibu ke Bakun.

Menurut cerita penduduk, perkampungan asal Kejaman ialah di Sungai Kajang, sebab utama wujudnya nama masyarakat Kajang sebelum memilih untuk berpindah ke Hulu Sungai Rajang atas alasan untuk mendapatkan sumber ekonomi hasil hutan yang lebih banyak.

Penduduk di perkampungan Kejaman lebih banyak bergantung hidup kepada aktiviti pertanian dengan kebanyakannya boleh dikategorikan sebagai ‘kais pagi makan pagi’, namun kepesatan aktiviti pembalakan di kawasan hutan berhampiran membuka ruang kepada beberapa penduduk di situ mendapatkan sumber pendapatan lain sebagai pekerja pembalakan.

Kemudahan asas di perkampungan itu juga sangat terhad. Mereka tidak mempunyai kemudahan elektrik, sekadar bergantung kepada jana kuasa elektrik yang dihidupkan selepas jam 7 malam hingga jam 11 malam iaitu waktu hampir semua penduduknya sudah tidur lantaran kebanyakannya memulakan aktiviti harian seawal jam 6 pagi.

Namun, agak mengejutkan kerana meskipun jauh di pedalaman, kebanyakan rumah di situ dilengkapi kemudahan televisyen berbayar dan ada juga di kalangan mereka memasang parabola, sekali gus membolehkan masyarakat di situ sentiasa mengambil tahu perkembangan semasa dunia luar.

Ia juga menjadi antara sebab penduduk di situ yang majoritinya penganut Kristian berjaya dalam pendidikan dengan ada yang menjadi guru dan berpuluh lagi sedang melanjutkan pengajian di universiti dalam pelbagai jurusan profesional.

Tidak cukup dengan itu, suasana sebelah malam yang diterangi lampu kalimantang di rumah panjang itu juga meriah dengan aktiviti karaoke penduduk muda di situ yang cukup gemar menyanyikan lagu Indonesia, malah turut merdu menyanyikan lagu artis dari Semenanjung seperti Awie dan Siti Nurhaliza.

Ciri-ciri utama masyarakat pedalaman masih ketara di kalangan beberapa penduduk lama seperti cuping telinga panjang serta tatu yang penuh di tangan dan kaki, namun ia tidak lagi diikuti masyarakat muda lantaran merasakan sudah tidak lagi sesuai pada zaman ini.

Hidup jauh daripada orang luar ternyata menjadikan masyarakat ini lebih kreatif terutama dalam menghasilkan produk kraftangan dan ia terbukti dengan kehalusan hasil kraf seperti anyaman buluh dan manik, namun masalah pengangkutan dan akses dengan dunia luar menyebabkan ia sukar dipasarkan.

Apa yang pasti, hidup dalam kelompok masyarakat unik itu menyebabkan mereka banyak melakukan aktiviti bersama seperti memasak untuk menghadapi perayaan atau perkahwinan dan sering berkumpul melakukan kerja kraftangan.

Bagaimanapun, kesukaran utama iaitu jarak dengan dunia luar sering menjadi isu utama masyarakat di situ yang menghadapi masalah mendapatkan perubatan sempurna serta terkongkong dalam cara hidup orang hulu, meskipun tidak dinafikan sentiasa mengikuti perkembangan dunia semasa.

Apa tidaknya, untuk ke rumah panjang yang dipimpin tuai rumah itu, perjalanan serba memeritkan perlu ditempuh termasuk melalui laluan balak serta sungai yang turut dipenuhi balak hanyut, sekali gus menyajikan pelbagai bahaya.

Itulah kesukaran yang perlu ditempuh masyarakat di situ sekiranya mahu mendapatkan keperluan lain seperti pakaian dan kelengkapan asas termasuk membeli minyak dari Belaga. Suka atau tidak segala kesukaran dan risiko itu perlu ditempuh. Namun, bagi mereka, alah bisa tegal biasa.

Di sebalik kesukaran dan hidup terasing itu, ada kebanggaan yang diluahkan mereka seperti kata-kata yang diluahkan wakil Tuai Rumah di Long Segaham, Jackson Kubang Luring – “Kejaman hanya ada di Sarawak dan kamilah saja Kejaman yang masih ada di dunia ini. Tak semua orang tahu mengenai kami tetapi kami juga berjaya seperti masyarakat lain,” katanya.

Perjalanan ambil masa lebih 5 jam

UNTUK ke perkampungan kaum Kejaman di Hulu Sungai Rajang di Belaga, Sarawak, terpaksa menaiki kenderaan pacuan empat roda. Perjalanan mengambil masa lebih lima jam merentasi laluan hutan balak yang berliku dengan keadaan jalan tanah merah serba kekurangan serta becak.

Dengan bantuan Liew, pemilik kenderaan pacuan empat roda jenis Ninja Turtle yang bersetuju membawa kami ke Belaga dengan bayaran sebanyak RM600, perjalanan yang menguji kemahiran pemandu itu dimulakan pada sebelah petang menjadikannya lebih sukar lantaran kepayahan mengagak apa yang bakal muncul di hadapan termasuk lori balak, yang menjadi ‘raja’ di laluan itu.

Lebih dua jam melalui jalan bertar yang boleh terus ke Bakun, simpang ke kanan memasuki laluan jalan tanah merah memulakan episod perjalanan yang sukar. Sepanjang dua jam, kami dilambung dan langsung tidak dapat tenang ketika Ninja Turtle dipandu ke kiri dan ke kanan, turun dan naik bukit sehinggakan lebih lima kali Liew terpaksa memberhentikan kenderaannya untuk menukar sistem pemanduan dari dua roda ke empat roda.

Selepas jenuh dilambung sepanjang perjalanan dan disajikan pengalaman penuh derita itu, kami begitu teruja melihat pekan Belaga. Tak dapat digambarkan betapa hati ini begitu terpegun melihat pekan kecil itu kerana sudah lima jam dalam keadaan pening lalat.

Pekan Belaga, lebih kurang sebesar pekan kecil Hulu Langat dengan kemudahan yang sangat minimum serta turut dilengkapi beberapa kedai makan Melayu dan hotel murah sudah cukup sempurna bagi penduduk tempatan terutama yang tinggal di Hulu Belaga termasuk perkampungan kaum Lahanan, Sekapan, Kayan, Sihan dan Melayu Kedayan.

Hanya ada dua tiga blok kedai dan beberapa kemudahan asas lain seperti balai polis, klinik kecil dan stesen jualan minyak di pekan yang majoriti penduduknya adalah masyarakat Melayu Kedayan. Keunikan masyarakat di sekitar Belaga juga menarik perhatian pelancong asing untuk berkunjung ke situ apabila turut kelihatan beberapa pelancong asing termasuk dari Australia.

Kami menginap di Hotel Belaga malam itu sebelum meneruskan perjalanan ke Long Segaham dengan bot panjang keesokan harinya yang sekali lagi menyajikan pengalaman perjalanan penuh mencabar dan mendebarkan.

Apa tidaknya, sepanjang perjalanan menongkah arus itu, pemandu bot, Tuong, terpaksa mengelak beberapa kumpulan kayu balak hanyut yang ada antaranya besar sepemeluk. Jenuh juga dia mengemudi bot dari kanan ke kiri bagi memastikan bot tidak melanggar balak hanyut itu selain mahu memastikan bot tidak terperangkap di kawasan air cetek.

Keadaan sungai yang keruh dan sesekali ada pusaran air kelihatan cukup bahaya dan dikhabarkan beberapa kemalangan yang meragut nyawa pernah berlaku di situ sekali gus menuntut pemanduan penuh berhati-hati sepanjang perjalanan tanpa sebarang alat keselamatan.

Lebih dua jam perjalanan melalui beberapa perkampungan termasuk sebuah perkampungan kaum Kejaman di Long Litten dan kilang balak, kami tiba dengan selamat di Long Segaham. – Bersambung esok

Jawatan Tuai Rumah diwarisi golongan bangsawan sejak turun-temurun

Pemilihan JKKK secara demokrasi bantu lancar struktur pentadbiran rumah panjang Kejaman

KEPEMIMPINAN adat yang disokong oleh sistem pengurusan komuniti menjadi tunjang menggerakkan struktur pentadbiran di rumah panjang Kejaman di Belaga, Sarawak. Ia dilihat sama seperti pengurusan di perkampungan lain di Semenanjung, cuma yang membezakannya ialah perlantikan Tuai Rumah (penghulu).

Jika di perkampungan lain terutama di Semenanjung, pemilihan ketua kampung dibuat berdasarkan cadangan orang ramai serta mendapat sokongan kerajaan negeri, di rumah panjang pula, pelantikan Tuai Rumah tidak dibuat secara pemilihan atau cadangan sesiapa, tetapi menjadi jawatan turun-temurun.
Merujuk kepada Rumah Panjang Kejaman Long Segaham, ia seakan sama seperti rumah panjang lain di mana Tuai Rumah adalah daripada keturunan bangsawan atau pembesar sejak dulu dan digelar sebagai Laja di kalangan mereka.

Tuai Rumah tidak boleh dipecat dan mempunyai kuasa penuh menentukan perundangan di rumah panjangnya. Malah menurut cerita penduduk di Long Segaham, satu ketika dulu Tuai Rumah seakan ada kuasa veto yang tidak boleh dibantah sesiapa.

Sehinggakan sekiranya Tuai Rumah berminat dengan sesiapa (wanita), tak kira isteri orang atau apa saja, dia boleh mengambilnya sesuka hati, mengahwininya atau menjadi hambanya. Begitu juga dalam memutuskan bentuk hukuman terhadap pesalah, Tuai Rumah boleh buat apa saja.
Jika dicari persamaan, ia tak ubah seperti raja ketika zaman dulu kala. Kuasa mereka sebesar dunia, seluas lautan dan hutan belantara. Tak dapat disangkal sesiapa. Malah, penentangnya boleh dihukum tanpa perlu dibicara.

Namun, seiring perkembangan dunia semasa, kedudukan Laja Levou (Tuai Rumah) sudah mula berubah. Pelantikannya masih mengekalkan konsep sama iaitu diangkat daripada keturunan Laja, tetapi bidang kuasanya kini dipandu oleh beberapa jawatankuasa di bawah Jawatankuasa Kebajikan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

Di Long Segaham, Tuai Rumah, Tijan Mayang Mada, dibantu oleh suaminya sendiri, Jackson Kubang Luring, yang dilantik menjadi Pengerusi JKKK hasil pemilihan yang dibuat secara demokrasi dalam satu mesyuarat agung di kalangan penduduk tempatan.

Di bawah JKKK, beberapa jawatankuasa lain dibentuk di bawah biro khas iaitu keselamatan; kesihatan, kebersihan dan keceriaan; pelajaran; kebajikan dan sosial; kebudayaan dan sukan; agro ekonomi; sosioekonomi; pembangunan wanita; bekalan air bersih dan paip air; pencegahan, kawalan dadah, narkotik dan alkohol; bencana dan kecemasan serta jawatankuasa Gereja St Francis.
Selain itu, dua wakil khas Tuai Rumah dilantik iaitu Rot Ukang dan Badi Ismail, yang berperanan membantu menjadi perantara atau penyampai maklumat kepada pihak lain bagi mewakili suara Tuai Rumah sendiri.

Pemilihan wakil Laja Levou pula dibuat oleh Tuai Rumah itu sendiri berpandukan kepada pengetahuan luas mengenai adat istiadat Kejaman dan perlu menasihati beliau seperti kaedah menjalankan pentadbiran dengan sempurna.

Semua jawatankuasa yang dipilih pula akan kekal menjalankan tugas serta memikul tanggungjawab itu selama dua penggal (dua tahun) sebelum pemilihan semula dibuat. Namun, difahamkan, jarang sekali pemilihan menukar jawatankuasa sedia ada.

Laja Levou turut menjadi rujukan semua keluarga dalam etnik Kejaman dalam soal perkahwinan terutama membabitkan perkahwinan antara masyarakat Kejaman dengan etnik lain. Tuai Rumah mempunyai peranan penting memberi keizinan untuk proses kahwin campur itu dapat dijalankan.

Beliau turut dianggap sebagai mahkamah masyarakat Kejaman dalam memberikan kata putus mengenai hukuman dan tindakan, tetapi ketika ini, pandangan serta nasihat daripada JKKK turut diambil kira bagi membolehkan proses hukuman itu berjalan dengan lebih adil.

Kaedah hukuman dalam masyarakat Kejaman pula menggunakan sistem perundangan yang sudah dibukukan dalam pelaksanaan undang-undang Orang Hulu dan sudah diwartakan kerajaan negeri. Difahamkan, undang-undang khas masyarakat Kajang juga sudah digubal tetapi belum diluluskan.

Peraturan khusus masyarakat Kejaman turut mengandungi kaedah ‘Gak Tebara’ (pengajaran) bertujuan memberi kesedaran kepada pesalah dengan mengenakan hukuman berbentuk denda tanpa membabitkan tindakan sivil.

Kebiasaannya, jika ada sebarang kesalahan dilakukan masyarakat Kejaman, tindakan akan diambil oleh Laja Levou sendiri, dibantu JKKK, namun jika ia satu kesalahan serius terutama membabitkan keselamatan, ia akan dirujuk kepada pihak berkuasa.

Walaupun wujud sistem undang-undang Orang Hulu, penduduk Kejaman Long Segaham turut mempunyai undang-undang khusus yang digunakan di rumah panjang mereka saja, seperti kaedah mencegah penggunaan minuman keras dan penagihan dadah berleluasa di perkampungan itu.

“Dulu, di rumah panjang ini ada pekedai yang bebas menjual minuman keras kerana ia begitu popular di sini dan sangat laku. Pelanggannya sangat ramai. Jadi, satu undang-undang dibuat supaya keadaan itu dapat dicegah.

“Justeru, JKKK menetapkan, tiada lagi penjualan minuman keras dibenarkan di rumah panjang. Siapa yang ingkar, mereka akan didenda sebanyak RM500 dan perlu dibayar serta merta. Tak mampu bayar, harta benda akan dirampas.

“Jika minum dalam kampung, turut didenda. Denda itu pula mengikut apa jenis masalah yang timbul akibat mabuk. Manalah tahu, ketika mabuk, dia ada buat perkara tak senonoh atau mengganggu orang lain, hukumannya lebih berat,” kata Tuai Rumah, Tijan Mayang Mada.

Selain itu, menurut Pengerusi JKKK, Jackson Kubang Luring, kewujudan JKKK membantu tugas Tuai Rumah berjaya membentuk kerjasama lebih erat di kalangan penduduk untuk bekerjasama mencapai kata sepakat dalam banyak perkara.

Malah, JKKK juga banyak membantu melancarkan pentadbiran di rumah panjang, apatah lagi Tuai Rumah di Long Segaham seorang wanita yang perlu banyak menerima sokongan lain untuk memimpin di situ.

Kaedah perubatan tradisional kekal sebagai rawatan alternatif

JAUH daripada sebarang kemudahan asas menyebabkan masyarakat Kejaman di Long Segaham juga menghadapi masalah mendapatkan akses perubatan segera dan masih banyak bergantung harap kepada kaedah perubatan tradisional.

Namun, bergerak seiring dengan pemodenan dunia global menyebabkan mereka sudah menerima kaedah perubatan terkini dan sudah kurang percaya kepada bomoh atau dukun yang sejak sekian lama menjadi alternatif perubatan utama digunakan ketika menganut kepercayaan Saviek.

Kini, wanita Kejaman lebih selesa melahirkan anak di hospital, walaupun jaraknya berjam-jam perjalanan. Pendedahan kepada teknologi terkini yang banyak disiarkan dalam televisyen menyebabkan mereka tidak gemar lagi melahirkan anak dengan cara lama.
Apapun, tidak dapat tidak, masalah jarak jauh dengan klinik atau hospital berhampiran menyebabkan masih ada kaedah perubatan tradisional terpaksa diteruskan, terutama membabitkan masalah perubatan kecil seperti demam, sakit gigi dan sebagainya.

Jika sakit gigi, orang Kejaman sudah begitu lama menggunakan sejenis rumpai yang digelar urau ubat nyipen (nyipen bermaksud gigi). Akar tumbuhan itu direbus, diminum airnya atau sekurang-kurangnya dijadikan pencuci gigi. Ia dikatakan boleh menghilangkan kesakitan selama dua hingga tiga hari.

Tinggal di tepi hutan juga mendedahkan mereka kepada serangan haiwan berbisa. Namun, kaedah perubatan yang selama ini diamalkan sebagai penawar bisa dikatakan sangat berkesan iaitu dengan menggunakan akar kayu tokan.
Setakat demam biasa, ia bukan sesuatu yang merisaukan penduduk Long Segaham. Tak perlu panadol kerana hanya dengan menggunakan daun dari pokok urau upu yang ditanam sendiri, rebusan airnya serta dengan menggosoknya ke seluruh tubuh, demam akan kebah dan badan akan rasa lebih bertenaga.

Sama seperti orang Melayu. Masyarakat Kejaman juga suka dengan Tongkat Ali yang dipercayai mampu memberi kecergasan selain menyembuhkan sakit pinggang, sakit perut dan gastrik. Ia bukan setakat digunakan lelaki, tetapi turut popular di kalangan wanita.

Penyakit kudis juga menjadi masalah masyarakat Kejaman kerana tinggal dalam persekitaran hutan yang dipenuhi agas. Dengan menggunakan pucuk jambu batu yang direbus dan dijadikan air mandian, ia mampu mengurangkan kesan kudis.

Itu hanya sebahagian daripada tumbuhan hutan yang popular dalam masyarakat Kejaman. Tinggal lama di situ juga menjadikan mereka sentiasa menjumpai hasil hutan baru yang sesuai dijadikan penawar kepada pelbagai penyakit.

Misteri Etnik: Keterbukaan amalan, budaya kini pegangan Kejaman
Oleh Azrul Affandi Sobry
bhnews@bharian.com.my
(Siri keempat)

BOSAN hidup dalam kongkongan kepercayaan yang menyusahkan ketika mengamalkan adat lama ‘Saviek’, seluruh masyarakat Kejaman beralih kepada ‘Bungan’ sebelum kini setia menganut agama Kristian yang dibawa masuk sejak 1972.

Ketika mengamalkan cara hidup di bawah ‘Saviek’ dulu, mereka mempunyai kepercayaan kuat kepada petanda yang diberi oleh haiwan liar terutama burung seperti burung kelicap, kujit, acik (burung merah) dan kenyalang.

Ia banyak mendatangkan kesusahan kepada mereka kerana banyak malapetaka menimpa sekiranya petunjuk yang diberi membawa maksud tidak baik atau orang Kejaman itu sendiri melanggar larangan yang sudah ditetapkan dalam kepercayaan itu.

Wakil Tuai Rumah Panjang, Jackson Kubang Luring, berkata mereka percaya kepercayaan ‘Saviek’ mempunyai hubung kait rapat dengan makhluk atau roh jahat kerana petanda yang diberi selalunya akan berlaku dan sukar dielak.

Sebagai contoh, pada setiap tahun, masyarakat Kejaman ketika itu mengadakan perayaan ‘Saviek’ iaitu selepas musim menuai dengan menjalankan upacara menyeru burung helang menggunakan pelbagai cara termasuk jampi, mencurah air tuak, menyalakan rokok beramai-ramai, menghidang sirih serta kuih kejala (sejenis kuih seperti karas di Semenanjung ) dan nasi pulut.
Upacara menyeru itu akan diteruskan sehingga burung helang muncul dan terbang berlegar di hadapan mereka. Sekiranya helang terbang berpusing ke arah kanan, ia membawa petanda yang baik, tetapi jika sebaliknya, ia memberi maksud sesuatu yang buruk bakal berlaku.

Untuk mengelakkan kejadian buruk, masyarakat Kejaman perlu meneruskan upacara itu sehingga helang memberikan isyarat baik. Namun, jika ia tetap berlegar ke arah kiri, mereka perlu bersedia untuk menerima nasib buruk termasuk kematian mengejut di kalangan ahli keluarga.

Mereka yang bertanggungjawab menjalankan upacara pemujaan itu pula bukan sebarang orang. Tidak ramai di kalangan masyarakat itu tahu bahasa khusus untuk menyeru burung helang. Bahasa yang digunakan dalam ‘mua’ (istilah Kejaman untuk mantera) sangat unik, malah tidak difahami orang Kejaman sendiri.

Penghujung pesta ‘Saviek’, ayam atau babi akan disembelih. Ketika itu, sekali lagi petanda buruk atau baik dapat dilihat. Ia juga memerlukan kemahiran khusus orang tertentu untuk menilai petanda selepas meneliti hati ayam atau babi itu selain melihat bagaimana ayam dan babi itu melompat selepas disembelih.
“Apa saja petunjuk daripada upacara itu biasanya akan berlaku dan sukar untuk dielakkan. Itulah masalah utama ketika mengamalkan kepercayaan ‘Saviek’. Hidup kami tak pernah selesa dan sentiasa berpantang larang.

“Kegiatan ekonomi juga banyak terganggu. Bayangkan, jika ada sesuatu petanda tidak baik, penduduk di sini takut untuk keluar rumah. Kadangkala berhari-hari tidak ke sungai atau ke hutan. Jika ingkar, ada kematian akan berlaku. Selepas pesta pula, dua hari kami perlu berkurung dalam rumah.

“Kerana itulah, apabila ada seorang daripada etnik Kayan di Indonesia, Kujah memperkenalkan kepercayaan baru iaitu Bungan, semua masyarakat Kejaman mudah menerimanya lantaran ‘Bungan’ membuang banyak pantang larang dan kepercayaan karut selama ini.

“Lebih baik lagi apabila mengamalkan ‘Bungan’, tidak ada lagi malapetaka pelik berlaku seperti ketika menganut kepercayaan ‘Saviek’,” jelas Jackson mengenai permulaan penerimaan ‘Bungan’ dalam suku etnik Kejaman.

Namun, ‘Bungan’ yang juga bersifat pemujaan dengan menggunakan telur serta percaya kepada Apo Lagan (syurga dan neraka) tidak bertahan lama kerana pada 1972, ketika dua paderi dari Kanada, John dan Joseph membawa masuk ajaran Kristian yang dengan mudah menambat hati hampir semua penduduk di sekitar hulu Belaga.

Masyarakat di hulu Belaga berasakan agama Kristian mempunyai kepercayaan kepada tuhan yang lebih jelas berbanding apa yang mereka amalkan selama ini. Malah, mereka mengakui, jika ketika itu ada agama lain yang masuk, mereka akan dapat menerimanya demi menolak kepercayaan terhadap Bungan dan Saviek.

“Ketika itu, semua kaum memerlukan agama yang lebih jelas. Kerana itulah mereka mudah menerima Kristian. Tidak ada sebarang usaha daripada pendakwah Islam. Kami tiada masalah dengan apa saja agama dan tidak kisah menerima sesiapa saja dalam etnik ini yang mahu memeluk Islam. Apa yang penting, mereka mesti menganut agama itu dengan sepenuh hati. Anggaplah agama itu sebagai pegangan yang sejati. Jangan dibuat sambil lewa.

“Kejaman terbuka dalam soal agama. Jika anak nak masuk Islam atas sebab apa sekalipun, tak kira Islam atau Buddha, tak ada sesiapa akan menghalang. Ia hak mereka. Tak ada dalam kaum ini yang enggan terima jika anak masuk agama lain. Tak pernah terjadi sebegitu. Kami tak fanatik kepada satu-satu agama saja.

“Malah sudah ramai masyarakat hulu menganut agama Islam. Apabila mereka tinggal di sini, mereka bebas melakukan aktiviti ibadat mereka. Mereka bebas untuk bersolat dan kami menghormati kewajipan serta sensitiviti mereka,” katanya.

Walaupun majoriti masyarakat Kejaman sudah menganut Kristian dengan sebilangan kecil (lapan keluarga di Long Segaham) menganut Islam, beberapa kaedah khusus terutama berkaitan perkahwinan dan kematian masih mengekalkan ciri-ciri tertentu adat lama.

Ia terbukti melalui struktur kubur masyarakat itu yang dibina seperti pondok dan diukir cantik. Ada juga yang berkemampuan menyimpan tulang mayat si mati dalam tempayan dan diletak di pondok kecil atas salong (sama seperti keleriang).

Malah, adat lama iaitu menyimpan mayat berhari-hari jauh dari kawasan rumah sebelum dikebumikan masih diamalkan dengan alasan sayang dan rasa sukar untuk berpisah dengan ahli keluarga yang sudah meninggal dunia.

“Apapun agama yang dianuti, kaedah menguruskan mayat masih mengekalkan beberapa adat lama. Itu sukar dibuang dan ia seakan sudah sebati dengan jiwa kami. Semua orang perlu menghormati adat lama itu,” kata Jackson lagi.

Kini, selepas lebih 38 tahun menganut Kristian, atas sebab perkahwinan campur dengan etnik lain seperti Melanau dan Kedayan menyebabkan ramai juga di kalangan penduduk Kejaman sudah memeluk Islam dan diterima hidup di bawah satu bumbung dengan ahli keluarga lain.

Ia menggambarkan satu contoh terbaik konsep 1Malaysia kerana pelbagai agama dan cara hidup mampu hidup bersama dan saling menghormati tanpa ada sebarang masalah yang timbul.

Tuai Rumah Kejaman sendiri mempunyai seorang anak yang sudah memeluk Islam selepas berkahwin dengan lelaki daripada kaum Melanau.

Menariknya, sebagai tanda menghormati hukum hakam Islam, Tuai Rumah membina satu dapur khusus yang dilabel dengan tanda halal untuk kegunaan sesiapa saja orang Islam yang berkunjung ke situ.

Misteri Etnik: Budaya hamba dihapus beri kebebasan penduduk
Oleh Azrul Affandi Sobry

LAJA Levou (Tuai Rumah) mendapat satu pengiktirafan yang sangat tinggi di kalangan etnik Kejaman khasnya dan masyarakat Kajang amnya dengan semua penduduk dalam masyarakat itu perlu beramai-ramai membantu mengusahakan tanaman padi milik ketua rumah panjang itu.

Menurut Tuai Rumah Panjang Kejaman Long Segaham, Tijan Mayang Mada, ada satu ketika di mana semua penduduk kampung mesti menguruskan tanaman padi milik Laja Levou bermula daripada proses menebas, menanam sehinggalah membajak dan mengutip hasil.

Katanya, ia adalah adat yang sudah diamalkan sejak sekian lama, namun kini tidak lagi begitu digunakan lantaran kebanyakan penduduk dan pemimpin terkini sudah berfikiran terbuka serta hidup dalam sistem pengurusan sama seperti masyarakat lain.
Namun, perubahan itu sebenarnya masih baru dan tidak lagi menyeluruh di semua kawasan kerana masih ada etnik dalam masyarakat Kajang yang berpegang dan mengamalkan budaya nenek moyang itu sehingga kini.

Malah, budaya hamba abdi yang begitu kuat dalam masyarakat Kejaman juga baru dihapuskan di mana sebelum ini banyak rumah memiliki hamba abdi yang dimiliki disebabkan punca yang sebahagiannya difikirkan keterlaluan, malah diakui juga melampau di kalangan mereka.

Bayangkan, suatu ketika dulu, jika ada sesiapa dalam masyarakat Kejaman yang terpijak najis anjing milik seseorang di depan rumah tuannya, orang itu akan terus dihukum menjadi hamba dan semua keturunannya akan turut menjadi hamba keluarga itu sehingga dibebaskan.
Ketika itu, sangat ramai masyarakat Kejaman yang menjadi mangsa dan terpaksa hidup turun temurun sebagai hamba. Budaya itu kekal diamalkan hingga ke Tuai Rumah terdahulu sebelum dihapuskan dalam generasi kepemimpinan terkini.

Pijak najis anjing hanya satu sebab. Selain itu, kesalahan lain juga turut menyebabkan mereka boleh dihukum menjadi hamba termasuk membunuh atau ditawan dalam sesuatu pertempuran.

Hamba abdi akan kekal bekerja dengan keluarga itu tanpa diberi sebarang gaji. Hanya diberi makan minum semata-mata. Namun, kini kepesatan ekonomi dan keterbukaan minda yang lebih moden menyebabkan semua masyarakat Kejaman bersetuju untuk meninggalkan amalan itu serta membebaskan hamba abdi di semua rumah untuk hidup berkeluarga.

“Kami juga memberikan tanah kepada mereka. Mereka kini sudah bebas hidup dalam keluarga sendiri. Pembebasan mereka ada kaitan dengan minda penduduk di sini yang semakin terpelajar,” kata Tijan, isteri kepada Jackson Kubang Luring, bekas Guru Besar di Sekolah Kebangsaan Long Segaham.

Misteri Etnik: Pahlawan Kejaman berani lawan Inggeris
Oleh Azrul Affandi Sobry

(Siri kedua)

SEMUANYA bermula di Sungai Kajang, di hulu Bakun, melalui Sungai Murum dan Sungai Linau. Masyarakat Kajang yang terbahagi kepada beberapa etnik kecil, Kejaman, Sekapan, Lahanan, Punan dan Punan Busang dikatakan mula dikesan pada kurun ke-17.

Walaupun hidup dalam etnik berbeza, semua masyarakat yang ada di Sungai Kajang ketika itu tidak banyak menunjukkan perbezaan sama ada dalam aspek dialek bahasa, budaya serta kepercayaan. Keadaan itu kekal sehingga kini. Sukar mencari perbezaan di kalangan semua etnik Kajang.

Lantaran berasakan kehidupan di Sungai Kajang kurang memberi kelebihan dalam aspek ekonomi, mungkin kerana semua etnik itu terpaksa bersaing dalam kawasan sama, mereka mengambil keputusan untuk berpindah. Ketika itulah berlaku perpecahan kepada kawasan berbeza yang membawa kepada penempatan perkampungan baru.

Etnik Kejaman memilih untuk menyusuri Sungai Linau dan Sungai Murum menuju ke hilir Belaga dan membina penempatan di sepanjang Batang (sungai) Balui, manakala Punan Busang pula memilih untuk menuju lebih jauh ke hulu Sungai Linau menyebabkan mereka kini tidak lagi berada berhampiran dengan etnik lain dalam masyarakat Kajang.

Etnik lain, iaitu Sekapan dan Lahanan turut menggunakan Sungai Murum untuk ke hilir Belaga. Difahamkan Lahanan adalah etnik terakhir yang berpindah dari Sungai Kajang. Perpindahan itu juga dikatakan menjadi antara sejarah terhasilnya nama Bakun, iaitu daripada bahasa Lahanan, Bah Kun yang membawa maksud ‘mana nasi’.
Pada mulanya masyarakat membuka sebuah perkampungan saja di Long Litten. Berikutan krisis yang membawa kepada peperangan suku kaum ketika zaman pemerintahan Raja Brooke, segala-galanya berubah. Kini etnik itu berpecah kepada dua perkampungan besar, iaitu di Long Segaham serta Long Litten. Ada sebilangan kecil tinggal di Baram dalam masyarakat Kenyah.

Peperangan itu tercetus berikutan tindakan dua orang daripada suku kaum Kenawit, Sawiang dan Sekalai, yang membunuh dua pegawai Inggeris yang dikenali sebagai Fox dan Steel sebelum melarikan diri ke hulu Sungai Rajang kerana diburu tentera Inggeris.

Dalam perjalanan, mereka singgah di Nanga Sama, iaitu sebuah perkampungan di hulu Jeram Pelagus, ketika itu dihuni kaum Kayan di bawah pimpinan Lake’ Havit yang bersetuju untuk memberi perlindungan kepada Sawiang dan Sekalai.

Perkhabaran mengenai mereka berdua yang mendapat perlindungan di situ sampai ke pengetahuan Raja Brooke yang akhirnya menghantar utusan bagi menangkap Sawiang dan Sekalai. Namun, urusan berunding dengan Lake’ Havit dijalankan secara simbolik, iaitu memintanya memilih sama ada bendera atau pedang.
Sekiranya memilih bendera, itu menandakan Lake’ Havit bersetuju untuk memberikan kerjasama kepada Raja Brooke atau sebaliknya jika memilih pedang. Namun, nyata Lake’ Havit nekad dengan keputusan untuk menentang Raja Brooke dengan memilih pedang.

Bagi menguatkan pasukan menghadapi tentera Brooke, Lake’ Havit cuba mendapatkan bantuan etnik lain dengan membuat rundingan dengan ketua suku kaum Punan, namun gagal kerana etnik itu tidak mahu campur tangan dalam persengketaan berkenaan.

Situasi sama juga berlaku apabila kaum Sekapan juga enggan campur tangan. Harapan terakhir mereka hanya terletak pada etnik Kejaman pimpinan Kebiang Suriang di hulu Sungai Balui, iaitu di Long Litten. Kunjungan ke Long Litten membuahkan hasil apabila mereka sedia menentang tentera Brooke.

Menurut cerita orang tua di Rumah Kejaman Long Segaham, masyarakat Kejaman ketika itu berjaya mengumpulkan 888 tentera di kalangan lelaki dewasa yang mendirikan kota di hilir perkampungan mereka.

Kubu itu menjadi barisan pertama perlu ditentang Raja Brooke yang mendapatkan sokongan kaum Iban sebelum dapat sampai ke kawasan Lake’ Havit. Menurut cerita, pertempuran antara dua tentera itu berlarutan selama lapan hari lapan malam sehingga bala tentera Kejaman kehabisan peluru.

Menyedari kekalahan yang dialami, bertempiaran tentera Kejaman melarikan diri dan berpecah ke sana sini. Kebuang Suriang sempat melarikan anak sulungnya, Tului Kebiang ke hilir Belaga, manakala adik Tului yang ketika itu masih kecil dilarikan ibunya, namun ditawan orang Iban sebelum dibawa ke Kanowit.

Sepupu perempuan Tului, Sukun atau Inan Joy pula ditawan tentera Brooke dan dibawa ke hulu Bakun. Dia ditinggalkan di satu kawasan yang ditandakan dengan bendera Raja Brooke sebagai tanda tidak boleh dibunuh lantaran menghormati kedudukannya sebagai berdarah pemimpin sebelum dijumpai semula oleh beberapa orang Kejaman dan dibawa balik ke perkampungan Kejaman.

Orang yang bertanggungjawab menyatukan kembali masyarakat Kejaman ketika itu adalah Tului yang pulang ke perkampungan itu selepas keadaan huru hara kembali reda, itupun selepas tentera Brooke menangkap Sawiang dan Sekalai.

Kebijaksanaan dan kewibawaan yang dimiliki Tului dalam membentuk kembali perkampungan Kejaman serta memimpin dengan baik mendapat pengiktirafan ramai pihak, termasuk pemerintahan Brunei dan Brooke sendiri yang akhirnya mengiktiraf beliau untuk menjadi pemimpin sah bagi urusan kutipan cukai dan sebagainya.

Sebelum meninggal dunia, Tului sempat bersama-sama beberapa masyarakat Kejaman membina keleriang, tiang kayu besar yang mempunyai lubang untuk menyimpan tulang mayat seseorang. Keleriang untuk menyimpan tulang Tului kini ditempatkan di Bangunan Tun Abdul Razak, Kuching yang diambil dari Kuala Sungai Segaham (contoh keleriang juga boleh ditemui di Balai Seni Lukis, Kuala Lumpur).

Kematian Tului pada mulanya seakan-akan penamat kepada keturunan pemimpin berdarah Laja (Raja) kerana tiada waris (anak tunggalnya turut mati sebelum kemangkatannya), namun diselamatkan dengan penemuan Sebuang Kebiang, adik lelaki Tului yang dibawa masyarakat Iban ke Kanowit sebelum ini. Kepulangan Sebuang ke perkampungan Kejaman membolehkan kesinambungan kepemimpinan keturunan Kebiang diteruskan.

Namun, sekali lagi, nasib sama menimpa Sebuang apabila tiada waris untuk mewarisi kepemimpinannya. Difahamkan, beliau mempunyai anak di perkampungan Iban, tetapi tidak dapat dikenal pasti siapa dan di mana. Namun, ada sumber mengatakan masih ada cucu dan cicitnya di perkampungan Iban di Kanowit.

Bagi menggantikan salasilah pemerintahan keluarga itu, anak Sukun, Joy Lidem dilantik menjadi pemimpin (Tuai Rumah) pada ketika Sebuang semakin tua dan menuju ke penghujung usianya. Pada masa sama, Lasah Abun (bukan anak jati Kejaman – orang Sekapan) dilantik menggantikan Sebuang sebelum akhirnya menyerahkan pucuk pimpinan itu kepada Katan Joi (cucu Sukun).

Pecahan kepada dua perkampungan, iaitu Long Litten dan Long Segaham juga menyebabkan sejarah kewujudan etnik Kejaman di hulu Belaga semakin sukar untuk diperincikan lantaran wujud pelbagai versi berbeza daripada kedua-dua perkampungan ini.

9 Responses to “Misteri Etnik Kejaman (Berita Harian) 1”

  1. martha sukun jeti Says:

    dan saya adalah cicit kepada katan joi n cicit n cicit kepada sukun..datuk saya adalah mada katan..:)


  2. […] Misteri Etnik Kejaman (Berita Harian) 1 January 2010 1 comment 5 […]

  3. hujan batu Says:

    data ini telah banyak membantu saya dalam membuat ujikaji saya……
    saya harap pihak anda boleh berikan saya lebih lagi maklumat untuk saya….
    terima kasih daun keladi
    ada masa jumpa lagi…..
    ikhlas dari hujan batu

  4. ervienna cecelia Says:

    hrp2 krjaan dpt mbrikn bntuan yg spttnya…

  5. Tomazs Says:

    Saudara Azrul Affandi Sobry, kajian anda terlalu merendahkan suku kaum Kajaman, megenai kehidupan seharian. Mungkin kajian anda hanya bersandarkan fakta seharian anda. Untuk makluman saudara, kehidupan suku Kaum Kajaman adalah sama spt kaum-kaum lain di Sarawak spt Iban dan lain-lain, malah lebih baik daripada yang lain jika dibandingkan dengan masyarakat kaum Iban. Satu sebab kaum tersebut tdk dikenali mungkin ia merupakan kaum minoriti di Sarawak tdk spt Kayan dan kenyak. Lihatlah..w/laupun tiada kemudahan asas spt elektrik, dgn anatetif lain merea menggunakan generator/janakuasa. Kajian yg anda jalankan hanyalah bersandarkan pengalaman sehari anda.

  6. Kaza Man Says:

    Antara 2 kampung Kajaman i.e. Lg Segaham & Lg Liten tiada perbezaan yan ketara. Ada pun sebutan bahasa..mungkin disebabkan faktor berjahan antara satu sama lain. Asal Kajaman sebenarnya dari Long Liten sekarang ni. Perpecahan disebabkan kedudukan tanah untuk mendirikan rumah panjang tdk mencukupi ketika itu.

  7. MOHAMAD YUNUS BIN BEKRI Says:

    Saya brketurunan melanau islam, amat tertarik untuk mengetahui dengan mendalam berkenaan kaum kajang spt kajaman, lalahan, sekapan dll nya, dikatakan seketurunan dengan kaum melanau….yang jelas bahasa kajaman kebanyakan bersamaan dengan melanau contoh ubat nyepen, bermaksud ubat gigi, org melanau juga menyebutnya ubat nyepen, keman bermaksud makan dlm bahasa melanau iaitu sama dengan bahasa kajaman dan banyak lagi..ll

  8. agb nad Says:

    salam sejahtera,
    boleh sesiapa bgtahu dr mana lg atau sesiapa yg perlu saya hubungi untuk dapatkan maklumat mengenai etnik kejaman ini spt populasi terkini, ada x usaha – usaha dr agensi luar atau kerajaan sendiri yang membantu untuk mengekalkan etnik ini…


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: