Misteri Etnik: Pembinaan keleriang Kejaman simbol penyatuan semua etnik

Oleh Azrul Affandi Sobry

BATU Tuloi adalah warisan peninggalan keturunan suku kaum Kejaman di Rumah Litten.
TIDAK banyak tinggalan sejarah untuk mengaitkan mengenai etnik Kejaman, apatah lagi apabila kebanyakan aset berharga mereka dijual oleh pemimpin terdahulu kepada pihak lain dan gagal dikesan generasi sekarang.

Begitu juga keadaan yang berlaku kepada satu-satunya aset sejarah paling bernilai etnik itu, iaitu tiang kayu besar (keleriang) yang menjadi tempat penyimpanan tulang pemimpin terulung mereka, Tului Kebiang kerana sudah dibawa ke Bangunan Tun Abdul Razak di Kuching, Sarawak.

Hanya yang tinggal adalah batu besar, penutup keleriang itu yang masih ada di tapak asal tiang kayu itu di Kuala Sungai Segaham dipercayai tidak boleh diangkut bersama lantaran saiznya besar dan mustahil untuk dibawa keluar.

Namun, apabila diperincikan sejarah pembinaan keleriang itu, nyata ia adalah cerita menarik untuk dikongsi bersama, terutama apabila ia bukan saja dibina oleh masyarakat Kejaman, tetapi turut membabitkan hampir semua etnik dalam masyarakat Kajang.

Bukan sehari dua pembinaannya kerana untuk membawa batu besar setebal dua kaki dari Hilir Sungai Selengau (lebih kurang 30 kilometer dari tapak pembinaan) sudah memakan masa selama hampir tiga tahun dan membabitkan begitu ramai tenaga kerja.

Menurut cerita wakil Tuai Rumah Kejaman Long Segaham, Jackson Kubang Luring, batu sebesar itu terpaksa dipotong dengan kapak dan batu keras sebelum diletak di atas rakit yang dibina khusus sebelum ditarik beramai-ramai melawan arus Sungai Rajang.
“Setiap kali air surut, operasi itu terpaksa ditangguhkan. Golongan wanita bekerjasama menanam tebu dan ubi di sepanjang perjalanan untuk dijadikan makanan pekerja. Memang menyeksakan untuk mengheret batu itu.

“Ada cerita mengatakan, di atas rakit itu diletak tanah dan ditanam pisang. Dalam perjalanan menuju ke Sungai Segaham, beberapa kali pisang berbuah menunjukkan begitu lama masa diambil untuk sampai ke destinasi. Itulah sebabnya ada yang mengatakan tempohnya hampir tiga tahun,” ceritanya dengan riak muka sedikit berkerut.

Belumpun selesai seksaan mengheret batu itu, satu lagi beban utama ialah untuk meletakkan batu itu di atas keleriang kerana ia dilihat sangat mustahil, tambahan pula dengan tiadanya teknologi seperti sekarang. Dengan bantuan kaum Turi dari Kalimantan, satu kaedah menggunakan tuil pokok kayu dicipta dan berjaya meletakkan batu itu di tempatnya sebagai penutup keleriang.

Lebih menarik, difahamkan seorang hamba perempuan Tului dijadikan korban dan ditanam di bawah keleriang. Tulang mayat Tului, anaknya dan ibu mentuanya turut disimpan dalam tempayan sebelum dimasukkan ke dalam lubang keleriang.
Jackson berkata, pada hari batu besar itu diletakkan di atas keleriang, seluruh kawasan itu bergegar dan boleh dirasa di sesetengah kawasan di Indonesia.

Kini, tidak banyak keleriang yang boleh ditemui kerana kebanyakan kaum Kejaman lebih selesa mendirikan Salong atau kubur berbumbung biasa yang lebih rendah kosnya. Salong yang menyimpan tulang mayat Sebuang juga masih kukuh di lokasi asalnya, di Rumah Panjang Kejaman Long Segaham.

Misteri Etnik: Masyarakat Kejaman serius pertahan budaya warisan
Oleh Azrul Affandi Sobry

(Siri keenam)

KAYA dengan kepelbagaian aspek budaya serta hebat dalam seni kraftangan. Itulah persepsi pertama yang dapat digambarkan bagi menceritakan keunikan yang ada pada masyarakat etnik Kejaman di Belaga, Sarawak. Mereka bukan saja utuh mempertahankan keindahan seni budaya turun-temurun, malah berjaya mewariskannya kepada generasi muda.

Selama beberapa hari di Rumah Panjang Kejaman Long Segaham, hidangan persembahan budaya cukup mengujakan. Bukan sekadar tarian, malah nyanyian, mainan alat muzik dan seni pertukangan memperlihatkan sesuatu yang sukar ditemui di tempat lain.

Banyak juga tarian yang boleh dilihat di situ. Tarian Ngajat saja ada pelbagai jenis. Antaranya, Ngajat Ngalijeng Tavui dan Ngajat Solo atau Ngajat Tutuwong. Tarian beramai-ramai seperti Suwei Surut dan Suwei Pajuang Beti juga seronok ditonton.

Tarian etnik Kejaman nampak tidak banyak beza dengan etnik lain di Sarawak terutama Kayan dan Kenyah. Lenggoknya lemah lembut penuh tertib mengikut alunan ketukan gong, petikan sape dan ditambah dengan hentakan buluh yang dinamakan kesut.

Menariknya, irama yang mengiringi kebanyakan tarian etnik Kejaman menggabungkan pasukan lelaki dan wanita. Ada alat yang khusus untuk lelaki dan ada pula yang hanya untuk wanita. Contohnya, kesut tidak boleh dimainkan oleh lelaki, meskipun ketukannya rancak dan menggamatkan.

Gong yang digunakan dalam permainan alat muzik dalam etnik Kejaman juga ada dua jenis. Lelaki ditugaskan memukul Mediak Tawiek (gong besar), manakala wanita pula mengetuk mediak gan (gong kecil) yang melontarkan pelbagai irama mengiringi gerak langkah si penari.

Menambah keunikan bunyi muzik itu pula, ada beberapa wanita bermain tuong (sejenis alat muzik kecil yang diperbuat daripada dahan palma) dan ada pula meniup selingut (alat muzik seperti seruling, tetapi ditiup menggunakan hidung).

Itulah uniknya persembahan kebudayaan mereka. Semuanya berpadu menjadi satu. Jika dihayati, bunyian yang terhasil daripada setiap alat muzik asli itu, meskipun gamat, tetapi membuai jiwa. Lantaran itulah, tidak pelik melihat penarinya seperti terawang-awang menari bagai sedang mabuk. Malah, difahamkan memang dulu penarinya akan meminum tuak sebelum menari.

Apabila menceritakan mengenai persembahan budaya, ia tidak dapat lari daripada perkahwinan kerana hari yang paling sesuai menonton persembahan sebegitu ialah ketika kenduri kahwin atau ketika perayaan khusus seperti Krismas.

Justeru, banyak juga tarian yang ada dalam masyarakat Kejaman ini berkait dengan adat ketika perkahwinan, malah digunakan dalam beberapa upacara khusus seperti mengiring pengantin dan persandingan.

Contohnya, tarian Suwei Surut digunakan sebagai gerak langkah mengiringi pengantin bermula dari rumah tumpangan pengantin lelaki ke rumah perempuan, menjemput pengantin perempuan dan seterusnya mengiringi pasangan pengantin ke pelamin. Ketika inilah, keunikan budaya kaum itu begitu terserlah.

Apa tidaknya, difahamkan ketika menarikan Suwei mengiring pengantin, sebanyak mungkin penduduk di situ akan menari beramai-ramai sehingga membentuk satu barisan panjang, sehingga ada ketikanya membabitkan lebih 100 orang.

Riuh rendah jadinya kerana mereka yang mengiring ada yang seakan dirasuk menjerit dengan suara nyaring menambah meriah suasana. Malah, lebih menarik, tarian dalam barisan panjang itu turut disertai semua peringkat usia dan jantina termasuk kanak-kanak. Mungkin kerana lenggok tariannya mudah, hanya melangkah mengikut rentak muzik dan melihat arah langkah orang di depan.

Cuma, apa yang ditambah dalam tarian Suwei ketika perkahwinan ialah pasangan pengantin perlu melalui satu proses iaitu Penyah Beti (memijak sebilah pedang) sebelum sampai ke pelamin sebagai tanda hubungan yang kuat dan hebat tanpa sebarang gangguan.

Proses perkahwinan atau persandingan juga sangat unik. Dengan duduk di atas gong besar, pengantin akan melalui beberapa peringkat termasuk dibaca jampi (mua) dan dilalukan talam serta parang di atas kepala sebelum disuap dengan sagu oleh orang tua Kejaman.

Selepas itu, giliran ibu pengantin perempuan pula untuk menyanyikan mua yang mengandungi nasihat atau petua kepada pasangan pengantin untuk meneruskan kehidupan berumahtangga itu. Sepanjang proses itu berlangsung, gong dan kesut dimainkan.

Mengenai hasil kraf tangan pula, banyak sekali produk berkualiti dihasilkan masyarakat Kejaman dan mempunyai nilai tinggi jika dipasarkan. Malah, hasil kerja tangan mereka dilihat cukup halus dan amat sukar ditemui di mana-mana.

Mungkin hasil kraf seperti anyaman manik dan ukiran kayu sudah biasa ditemui di tempat lain termasuk di Bintulu, namun apa yang membezakan antara hasil tangan masyarakat Kejaman dengan produk luar ialah kehalusan dan kualitinya. Malah, diakui sendiri oleh beberapa peniaga di Bintulu.

Difahamkan, produk sebegitu, jika dibawa ke Kuala Lumpur, boleh dijual berkali ganda, namun agak mengecewakan, lantaran masalah pengangkutan, tidak banyak dan amat sukar sekali untuk memasarkan produk mereka.

Antara kemahiran paling unik masyarakat Kejaman ialah ukiran keleriang yang dikhabarkan tidak ada pada semua kaum, hanya ada di kalangan etnik dalam masyarakat Kajang saja. Ukiran di tiang kayu besar itu membabitkan kerja tangan yang rumit dan memakan masa serta tidak dikuasai semua orang kerana mempunyai maksud tertentu pada setiap ukiran.

Kemahiran unik masyarakat Kejaman itu juga mendapat pengiktirafan tinggi apabila salah seorang warga tuanya, Jelan Asoh, 71, pernah dijemput mengukir sebatang keleriang di Balai Seni Lukis, Kuala Lumpur pada awal tahun lalu.

Kehalusan hasil seni tangan juga dapat dilihat pada labuong, sejenis topi anyaman buluh yang diserikan dengan susunan manik serta turut mempunyai perlambangan atau maksud tersendiri bagi setiap bentuk ukiran dihasilkan.

Malah, labuong juga dihasilkan berbeza bagi setiap tujuan iaitu bagi kegunaan biasa untuk ke kebun, berehat di ruang rumah, ke pekan, bergaya ke bandar atau untuk upacara khusus seperti perkahwinan dan perayaan.

Selain itu, produk kraf tangan lain yang ada dalam masyarakat Kejaman ialah keduri (alat tiupan), Selavieng (perisai berukir), idiang tatiek (parang ilang), idiang buok gadieng udzau tudieng (parang panjang menggunakan hulu dari tulang), ujep (lembing), beniang (alat mendokong anak) dan sioung (perhiasan berukir untuk digantung di dinding).

Misteri Etnik: Masyarakat Kejaman rajin cari rezeki
Oleh Azrul Affandi Sobry

(Siri ketiga)

KETIKA berpindah ke Hulu Sungai Rajang di pedalaman Sarawak dan memilih untuk membuka perkampungan di Long Segaham dan Long Litten, etnik Kejaman hanya bergantung harap kepada sumber hutan dan sungai. Bagi mereka, ia sudah cukup selesa berbanding ketika berada di Sungai Kajang.

Hidup mereka serba mudah. Nak makan nasi, padi ditanam sendiri di bukit berhampiran (padi huma). Lauk pauk pula dicari sendiri dengan menangkap ikan dan sayur ditanam sendiri di sekeliling kampung. Hidup kais pagi makan pagi sudah menjadi rutin utama yang selesa diamalkan, malah ada juga terus dalam cara hidup sama sehingga kini.

Nampak sukar bagi sesetengah orang melihat keadaan mereka yang tinggal jauh daripada kemudahan asas seperti orang lain. Bandar atau pekan terdekat berada dalam jarak lebih tiga jam perjalanan dengan pelbagai bahaya menanti.

Namun, menyelami cara hidup mereka, semua itu bagi mereka ibarat alah bisa tegal biasa dengan kebanyakannya tahu bagaimana untuk memastikan kehidupan dapat diteruskan dalam keadaan serba kekurangan itu. Mereka tahu bagaimana untuk terus hidup di tepi belantara menghadap sungai keruh serta kadangkala berarus deras.

Merujuk kepada ketua rumah panjang di situ (Tuai Rumah), Tijan Mayang Mada, ramai penduduk di situ dikategorikan sebagai miskin tegar dan layak mendapat bantuan tetapi sepanjang pengamatannya, kemiskinan hanya didefinisikan dalam konteks pendapatan tetapi jika dilihat dari segi cara hidup, mereka tidak pernah merasakan kesusahan itu.

Kebanyakan penduduk mula mencari rezeki seawal jam 6 pagi dengan ada antaranya keluar berkebun dan yang lain pula menuju ke sungai memasang jala untuk memerangkap ikan. Mereka bebas melakukan apa saja dan bagaimana untuk mencari rezeki terpulang kepada kerajinan mereka sendiri.

Ketika suami mencari ikan, isteri pula sibuk menguruskan kebun di sekitar kawasan rumah panjang. Mereka bekerjasama mencari rezeki. Semua hasil bumi yang diperoleh kebanyakannya bukan untuk dijual tetapi lebih kepada untuk makanan setiap hari.

Jika ada lebihan tangkapan, barulah dijual kepada jiran, itupun dengan harga yang sangat murah. Begitulah kitaran kehidupan mereka, berniaga pun sekadar dengan orang sekeliling kerana ternyata kehidupan mereka pun hanya dalam kelompok itu sendiri.

Kemahiran mereka bukan terhad kepada aktiviti pertanian semata-mata. Majoriti dalam etnik Kejaman cekap dalam kerja kraftangan terutama wanita termasuk mereka yang masih muda. Hasil kraf dijadikan pendapatan tambahan bagi menampung kos sara hidup yang lain tetapi itupun tidak seberapa kerana hasil mereka amat sukar untuk dipasarkan atas sebab jarak yang jauh dari bandar.

Tidak banyak kos yang perlu bagi meneruskan kehidupan di perkampungan itu kerana tiada sebarang bil yang perlu dibayar. Air percuma. Tiada kemudahan elektrik dan jika perlu pun sekadar membeli minyak untuk menghidupkan generator elektrik yang hanya kadangkala dipasang pada sebelah malam.

Tijan berkata, semua isi rumah etnik Kejaman ada tanggungjawab sendiri dan perlu aktif mencari rezeki bagi memastikan kehidupan di hulu sungai itu tiada sebarang masalah. Lantaran itu, apa saja yang boleh dibuat untuk mendapatkan duit akan diusahakan.

“Banyak kayu balak hanyut di Sungai Segaham. Ia juga sumber pendapatan kami. Jika ada kayu yang berkualiti dan boleh dijual, lelaki Kejaman akan mengambilnya dan memotong sebelum dijual kepada syarikat balak atau disimpan sendiri untuk membaiki rumah.

“Rumah di sini pun kebanyakannya dibuat sendiri dengan kayu yang dicari sendiri. Tak ramai penduduk di sini ada kerja tetap. Kebanyakannya buat apa saja untuk keluarga. Namun, kelebihan utama masyarakat kami ialah wanitanya kuat membantu ekonomi rumah tangga,” katanya.

Memang benar kenyataan Tijan itu kerana sepanjang berada di Long Segaham, kerap kali dapat dilihat wanita Kejaman membanting tulang, memikul kayu dan guni padi sejak pagi hingga lewat petang. Pada siang hari, tak nampak langsung kelibat lelaki kerana dikatakan keluar bekerja sama ada mencari ikan atau ada antaranya menjadi pekerja pembalakan.

Kebetulan, berhampiran perkampungan mereka, ada kilang balak sekali gus memberikan peluang kerjaya kepada ramai penduduk tempatan. Tak kurang juga yang sudah keluar membina kerjaya di luar kawasan Belaga seperti ke Bintulu atau Kapit dan Sibu. Mereka hanya pulang pada waktu tertentu atau ketika cuti perayaan.

Ia juga menjadi antara sebab tidak ramai penduduk Kejaman yang kelihatan sepanjang kami berada di situ meskipun dikatakan ada lebih 600 penduduk di Long Segaham. Ramai di kalangan mereka sudah nampak peluang pekerjaan di luar kawasan mereka.

Namun, satu kemajuan yang dibanggakan ialah mengenai pendidikan apabila sudah ramai pelajar daripada etnik Kejaman berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti, malah ada yang sudah berjaya bekerja sebagai profesional dalam pelbagai bidang.

Perkembangan positif dalam bidang pendidikan itu ada kaitannya dengan pembinaan sekolah rendah di Long Segaham yang kini menempatkan lebih 300 pelajar. Menariknya, meskipun sekolah itu hanya beberapa meter dari rumah panjang, semua pelajar diwajibkan tinggal di asrama sekali gus membolehkan mereka fokus pada pelajaran.

Bagaimanapun, kekangan atau keciciran masih ada di kalangan pelajar sekolah menengah kerana jarak antara kampung itu ke Sekolah Menengah Kebangsaan Belaga sangat jauh (dua jam perjalanan dengan bot). Memang ada asrama disediakan tetapi ramai juga pelajar yang tidak mahu keluar dari kampung kerana sudah biasa hidup di pedalaman sejak kecil.

Bagi memastikan anak mereka tidak ketinggalan dalam pendidikan, ramai juga ibu bapa Kejaman menghantar anak mereka tinggal dengan saudara mara lain di luar Belaga termasuk di Sibu dan Bintulu. Hasil perbualan dengan kebanyakan ibu bapa di situ, pelajaran sudah dianggap sangat penting untuk mengubah hidup mereka tetapi isu lokasi sekolah tetap menjadi kekangan utama.

Jika dibuat perbandingan antara Kejaman di Long Segaham dan Long Litten, nyata pelajar di Long Litten lebih berjaya kerana sehingga hari ini sudah ramai di kalangan mereka sudah menjadi guru dan ada antaranya sedang dalam pengajian perubatan di universiti tempatan.

Ia mungkin disebabkan masyarakat di Long Litten dilihat lebih terbuka dan mudah menerima kemasukan sentimen luar berbanding di Long Segaham yang kuat berpegang kepada cara hidup serta budaya asal Kejaman.

Misteri Etnik: Masyarakat Kejaman kaya kisah legenda, dongeng

(Siri kelima)

SEMUA kaum mempunyai cerita dan hikayat tersendiri. Di Semenanjung cukup terkenal dengan kepahlawanan legenda, Hang Tuah lima bersaudara dan turut berbangga memperkatakan mengenai kemasyhuran kisah Mahsuri.

Jika hikayat dongeng penglipur lara pula, cerita seperti Pak Pandir, Luncai, Badang, Pak Kaduk, Tanggang, Batu Belah Batu Bertangkup cukup sinonim terutama di kalangan orang Melayu. Tak kurang juga, semua kaum mempunyai idola yang sentiasa dikagumi termasuk Allahyarham Tan Sri P Ramlee.
Begitu juga halnya dengan masyarakat Kejaman. Mereka juga mempunyai perwira, legenda dan kisah dongeng tersendiri. Malah, apabila dikaitkan dengan kepercayaan lama mereka terhadap makhluk halus ketika menganut fahaman Saviek, banyak cerita legenda dikatakan mempunyai kuasa aneh dan misteri.

Ketika bercerita mengenai hikayat dan legenda masyarakat Kejaman, wakil Tuai Rumah, Jackson Kubang Luring yang ditemani beberapa warga tua Kejaman begitu bersemangat dan sentiasa sampuk menyampuk menambah isi cerita.

Menurut Jackson, kebanyakan cerita legenda itu dikarang dan diceritakan kembali oleh orang tua Kejaman melalui ‘Mua’ (sejenis syair masyarakat Kejaman) menggunakan bahasa yang tidak ramai memahaminya.

Wira misteri Kejaman: Levou Puau

Levou Puau dipercayai masih wujud serta hidup dalam keadaan ghaib sehingga kini dan dikatakan mempunyai perkampungan di kawasan hutan seberang sungai pekan Belaga. Dia dikatakan separuh manusia dan separuhnya makhluk lain, namun satu ketika dulu pernah menampakkan diri dan bergaul dengan orang ramai.

Lelaki misteri ini gemar berjalan merentas seluruh Sarawak dan pada satu ketika melalui hulu Sungai Balui iaitu di hulu Belaga. Dia berperahu merentas sungai tanpa mempedulikan jeram yang bahaya. Perjalanannya terganggu apabila ada sebuah batu besar dikenali sebagai batu angin melintang menyekat perjalanan di tengah sungai.

Cubaan Levou Puau untuk memotong batu angin menggunakan pelbagai alat tidak berjaya, namun dengan kesaktian yang ada padanya, seekor burung kujit memberi petunjuk dengan berbunyi: ‘Kujit kuco kujit kuco, gelak gelak.’
Sebenarnya, isyarat yang diberi ialah menyuruh mereka mengambil satu kayu lembut yang bernama gelak dan menggunakannya untuk menolak batu itu. Nyata, kaedah itu berjaya menumbangkan batu itu sehingga pecah berderai serta hanyut ke hilir Sungai Balui dan membentuk lebih banyak jeram. Kerana itulah dikatakan punca banyak jeram di sepanjang Sungai Rajang.

Perjalanan diteruskan ke Lubuk Mejawah yang ketika itu menjadi sarang sekumpulan tebuan yang saiznya sebesar ayam jantan. Tebuan ganas itu sentiasa menyerang dan menyengat sesiapa yang melalui laluan itu sehingga mangsanya mati.

Bagi menghapuskan tebuan itu, Levou Puau membuat satu jala yang menggunakan dawai tembaga. Keberaniannya berdepan tebuan itu dan mengepungnya dengan jala khas itu berjaya menamatkan keganasan haiwan itu. Sekali lagi, Levou Puau berjaya membantu untuk keselesaan kaum di situ.

Levou Puau bukanlah pahlawan menentang musuh tetapi cukup terkenal di kalangan masyarakat Kejaman kerana jasanya membantu menyelesaikan banyak masalah di sekitar kawasan perkampungan etnik itu.

Pahlawan Kejaman: Aman Gon

Satu ketika dulu, Kejaman pernah bermusuh dengan masyarakat Kenyah Badeng di Usun Apau. Mereka dikatakan selalu mengganggu penduduk Kejaman menyebabkan Aman Goh mengambil tindakan menyerang kaum itu untuk membalas dendam. Ia berlaku ketika zaman kepemimpinan Tuai Rumah Sebuang Kebiang.

Pertempuran ketika itu berlaku dengan sengit sehingga mengorbankan banyak nyawa. Kekuatan dan jumlah pejuang Kenyah Badeng yang mahir menggunakan sumpit dan parang ilang memberi kesukaran besar kepada pejuang Kejaman untuk menghampiri perkampungan mereka.

Menyedari kekalahan pada pihak Kejaman, Sebuang membawa lari pejuang yang masih hidup, tetapi Aman Gon tidak mahu menyerah dan terus menyerang seorang diri menggunakan sumpit dan parang yang menggunakan hulu tanduk badak. Mengikut kefahaman masyarakat Kejaman, sesiapa yang memiliki parang berhulu tanduk badak, pemiliknya tidak akan lari daripada pertempuran.

Kehebatannya menggunakan sumpit berjaya membunuh ramai pejuang Kenyah Badeng sehinggakan akhirnya dia tumpas akibat seorang wanita. Ketika itu, dalam sejarah perang ‘Ngayau’ (penggal kepala), wanita berupaya melemahkan lelaki. Wanita jugalah yang dihantar untuk membunuh Aman Gon.

Legenda wanita misteri: Buriang Inan Saran

Buriang bukanlah pahlawan tetapi terkenal dengan misteri yang sehingga hari ini masih kuat dipercayai masyarakat Kejaman. Dia dipercayai mempunyai perkampungan kecil di Letang Ugan, berhampiran kampung asal masyarakat Sihan di seberang pekan Belaga.

Dia dikatakan ada memelihara buaya putih yang sudah berubah menjadi batu dan batu berbentuk buaya itu masih boleh ditemui di kawasan berkenaan. Di situ juga ada pokok yang tidak pernah membesar dan saiznya tetap begitu sejak sekian lama. Kolam tempat Buriang mandi juga tidak pernah kering walau ketika musim kemarau sedangkan tiada sebarang punca air di kawasan itu.

Tidak dapat dipastikan siapa Buriang tetapi tinggalan misterinya masih menghantui kebanyakan penduduk di situ sehinggakan tidak ada sesiapa berani mendirikan sebarang binaan atau menggerakkan projek di Letang Ugan.

Buriang dipercayai lebih rapat dengan masyarakat Kejaman di Long Litten dan pernah berkahwin dengan lelaki sakti, Lagiang yang dikatakan berketurunan naga menyebabkan Buriang perlu mendirikan rumah di dalam air.

Kisah dongeng popular: Akek Utun

Akek Utun, seorang yang cacat. Kudung kaki dan tangan. Dia suka berpakaian pelik dan parangnya juga utun (setengah). Topinya pun sengaja dipotong supaya tinggal setengah saja. Begitu juga pancing dan hampir semua barang peribadinya, semuanya utun.

Kegemarannya ialah memancing ikan. Tidak jauh dari tempat dia memancing, ada sekumpulan monyet yang memerhatikannya. Kecekapan Akek Utun memancing sehinggakan mendapat banyak ikan menarik perhatian ketua monyet yang terus mengarahkan anaknya bertanya pada Akek Utun apa umpan yang digunakannya.

Maka pergilah anak bongsu monyet dan bertanya tetapi tidak dilayan oleh Akek Utun. Berkali-kali ditanya anak monyet itu sehingga Akek Utun berasa marah dan menjawab: “Umpan saya, hati mak bapak kamu, jantung mak bapa kamu.”

Menangislah anak monyet itu dan mengadu kepada bapanya. Tak berpuas hati, bapa monyet menghantar anaknya yang lain. Sekali lagi Akek Utun memberi jawapan sama dan menyebabkan anak monyet menangis.

Kerana marah, ketua monyet menangkap Akek Utun dan menawannya di rumah mereka. Dia diikat di kaki tangga dan dibiarkan bermalam di situ. Ketika pagi, ketua monyet bertanya apakah mimpi Akek Utun pada malam sebelum itu. Akek Utun hanya berkata tidak ada mimpi kerana kesejukan dan tidak dapat tidur.

Selepas setiap pagi soalan sama diajukan dan jawapan sama diberi, ketua monyet memindahkan Akek Utun tidur di tempat lebih selesa dan diberi makan seenaknya. Kali ini apabila ketua monyet bertanya mengenai mimpinya, Akek Utun menceritakan dia nampak banyak buah sedang masak di hulu sungai.

Senanglah hati monyet dan beramai-ramai keluar mencari lokasi itu dengan hanya meninggalkan dua anak monyet yang masih kecil untuk menemani Akek Utun. Namun, selepas seharian mencari, tiada langsung buah masak yang ditemui.

Akek Utun menggunakan peluang itu dengan merebus anak monyet dalam air panas. Apabila anak monyet kepanasan, mereka meronta dan mati kekerasan dengan mulut ternganga seakan riak muka orang sedang ketawa. Akek Utun mengikat dua anak monyet itu di kepala tangga sebelum melarikan diri dan menyorok di atas pokok ketapang.

Apabila kumpulan monyet itu pulang, mereka melihat anak monyet seakan sedang ketawa di kepala tangga menyebabkan mereka pelik. Selepas mengetahui rupa-rupanya anak monyet itu sudah mati, mereka segera mencari Akek Utun dan menjumpainya di atas pokok itu.

Menjerit mereka menyuruh Akek Utun turun sehingga akhirnya dia mengalah dan menghulurkan tali yang dibawa bersama. Dengan pantas semua monyet beratur memanjat tali ke atas pokok ketapang yang tinggi itu. Belum sempat sampai ke atas, Akek Utun memotong tali menyebabkan semua jatuh dan mati. Hanya dua monyet yang selamat. Kononnya, monyet yang selamat itulah menjadi nenek moyang monyet sehingga sekarang.

Itu hanya satu daripada beberapa lagi kisah dongeng popular dalam masyarakat Kejaman. Antara cerita lain ialah Batu Adut, sebuah batu besar di tengah Sungai Batang Balui, Belaga yang mempunyai bentuk seperti belakang kura-kura. Batu itu masih ada dan mempunyai ceritanya sendiri.

Ada juga cerita Kejaman yang seakan sama dengan dongeng atau cerita rakyat di Semenanjung tetapi mempunyai versi sedikit berbeza. Mereka juga menggunakan cerita seperti Tanggang untuk menghiburkan anak di samping memberikan pengajaran tersirat.

Leave a comment